Overblog
Edit page Follow this blog Administration + Create my blog

Kewangan islam

PENGENALAN KEWANGAN ISLAM DI MALAYSIA

INDUSTRI PERBANKAN ISLAM

Perbankan Islam merujuk kepada sistem perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam atau juga dikenali sebagai undang-undang Syariah. Prinsip-prinsip asas yang menguasai perbankan Islam ialah saling berkongsi risiko dan keuntungan antara kedua-dua pihak, jaminan keadilan untuk semua dan urus niaga yang dijalankan itu adalah berdasarkan aktiviti perniagaan atau aset asas.

Prinsip-prinsip ini disokong oleh nilai-nilai teras perbankan Islam yang menggalakkan aktiviti yang memupuk keusahawanan, menjana perniagaan dan perdagangan serta menghasilkan pembangunan kemasyarakatan atau manfaat. Aktiviti yang melibatkan faedah (riba), perjudian (maisir) dan urus niaga spekulatif (gharar) adalah dilarang.

Dengan memanfaatkan pelbagai konsep kewangan Islam seperti ijarah (sewa beli), mudharabah (perkongsian keuntungan) dan musyarakah (perkongsian),institusi perbankan mempunyai fleksibiliti, kreativiti dan pilihan yang lebih banyak dalam menghasilkan produk-produk kewangan Islam. Selain itu, dengan menekankan bahawa keperluan terhadap urus niaga harus disokong oleh aktiviti berkaitan perdagangan atau perniagaan, perbankan Islam menetapkan standard yang lebih tinggi bagi pelaburan dan menggalakkan kebertanggungjawaban dan pengurangan risiko yang lebih besar.

Kewangan Islam telah berkembang dengan begitu pesat sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 1970-an. Aset perbankan Islam global dan aset di bawah pengurusan kewangan Islam pada masa ini telah mencapai USD750 bilion dan dijangka mencecah USD1 trilion pada 2010.

Kini, terdapat lebih daripada 300 institusi kewangan Islam di 75 buah negara di seluruh dunia. Menurut Asian Banker Research Group, 100 bank Islam terbesar di dunia telah mencatat kadar pertumbuhan aset tahunan sebanyak 26.7%2 dan industri kewangan Islam global mencatat pertumbuhan purata 15-20% setiap tahun.

Industri kewangan Islam di Malaysia telah beroperasi lebih daripada 30 tahun yang lalu. Penggubalan Akta Bank Islam 1983 telah membolehkan Bank Islam yang pertama ditubuhkan dan seterusnya lebih banyak institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di dalam negara berikutan liberalisasi sistem kewangan Islam.

Kejayaan Malaysia membangunkan industri kewangan Islam domestik dalam tempoh lebih daripada 30 tahun telah memberikan asas yang kukuh kepada negara - asas kukuh kestabilan kewangan yang melengkapkan kekayaan, kepelbagaian dan kematangan sistem kewangan Islam. Pada masa ini, aset perbankan Islam Malaysia mencapai USD65.6 bilion dengan kadar pertumbuhan purata 18-20% setiap tahun.

Pada masa ini, kewangan Islam berkembang pesat di Malaysia, disokong oleh persekitaran yang kondusif yang terkenal dengan inovasi produk berterusan, yang berbagai rangkaian instrumen pelaburan Islam, infrastruktur kewangan yang komprehensif dan menerima pakai amalan terbaik pengawalseliaan dan undang- undang global. Malaysia juga memberikan penekanan yang penting kepada pembangunan modal insan dalam pembangunan industri kewangan Islam bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir dalam kewangan Islam. Semua tawaran nilai ini telah mentransformasikan Malaysia menjadi salah satu pasaran perbankan Islam yang paling maju di dunia. kepelbagaian institusi kewangan.

Liberalisasi yang pesat dalam industri kewangan Islam, di samping persekitaran yang memudahkan urusan perniagaan telah mendorong institusi kewangan asing memilih Malaysia untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam. Ini telah dapat memupuk komuniti institusi kewangan tempatan dan antarabangsa yang pelbagai dan semakin besar.

Kini, Malaysia mempunyai sebilangan besar bank Islam sepenuhnya termasuk beberapa entiti milik asing; institusi konvensional yang telah menubuhkan subsidiari Islam dan juga entiti yang menjalankan perniagaan mata wang asing. Semua institusi kewangan diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan dalam ringgit dan bukan ringgit.

Malaysia terus berkembang maju dan akan membangunkan industri ini dengan menggalakkan institusi kewangan asing untuk menubuhkan perniagaan perbankan Islam antarabangsa di Malaysia bagi menjalankan perniagaan mata wang asing.

Institusi kewangan Islam domestik juga boleh memohon untuk menubuhkan Unit Perniagaan Mata Wang Asing (UPMA), iaitu bahagian khusus untuk menjalankan perniagaan mata wang asing. UPMA juga diberikan pelbagai insentif cukai dan keistimewaan yang dapat mengurangkan kos perniagaan dan memudahkan untuk memasuki pasaran perniagaan kewangan Islam dalam mata wang asing.

SISTEM KEWANGAN ISLAM: KEWAJIPAN ATAU PILIHAN?

Islam adalah agama yang bersifat universal dan syumul. Hukum Islam tidak hanya terhad pada persoalan ibadat, hal ehwal perkahwinan atau bila berlaku kematian semata-mata, malah hakikat ibadat menurut pengertian Islam ialah kepatuhan kepada minhaj Allah S.W.T. yang meliputi semua persoalan berkaitan dengan kehidupan manusia termasuklah ibadat, muamalat, munakahat, jenayah, siasah, sosial, ekonomi dan sebagainya yang wajib diuruskan berlandaskan hukum Syarak.

Sistem ekonomi Islam amat mementingkan aspek keadilan dan keseimbangan antara kebebasan individu dengan maslahah awam dan soal agama dengan perkara-perkara keduniaan. Prinsip ekonomi dalam Islam tidak hanya bermatlamatkan kebendaan semata-mata tetapi turut bermatlamatkan ibadat yang membolehkan kita mendapat pahala jika diusahakan dengan niat kerana Allah S.W.T. dan berhasrat untuk mendapatkan keredaan-Nya.

Perbankan Islam dan perbankan konvensional

Sistem perbankan dan kewangan Islam merujuk kepada satu rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah bagi merealisasikan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan juga pendapatan. Pengurusan perbankan dan kewangan Islam adalah berasaskan kepada transaksi Islam dalam fiqh al-mu‘amalat supaya aktivitinya sentiasa bertepatan dengan prinsip Syariah.

Perbezaan utama antara sistem perbankan Islam dengan sistem perbankan konvensional ialah tentang konsep halal dan haram yang menjadi tunggak keunggulan sistem nilai dan norma yang dibangunkan oleh Islam. Perbankan konvensional tidak perlu patuh kepada prinsip Syarak dan bebas menggunakan transaksi ribawi dalam segala urusan mereka. Sebaliknya, perbankan Islam tidak mengamalkan riba malah menggunakan transaksi-transaksi yang mematuhi Syariah serta mempraktikkan konsep perkongsian untung dan rugi dalam perbankan bagi menggantikan mekanisme bunga dalam operasi.

Namun demikian, masih ramai di kalangan umat Islam pada hari ini yang lebih mengutamakan sistem perbankan dan kewangan konvensional dan mengetepikan sistem Islam, malah ada juga yang beranggapan bahawa perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah sama sahaja. Sebenarnya, jika kita teliti dalam Al-Quran, tanggapan seperti ini telah pun wujud semenjak zaman dahulu lagi di mana Allah S.W.T. telah berfirman, maksudnya:

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...”

(Surah al-Baqarah, ayat 275)

Tanggapan sedemikian antara lain berasaskan kepada faedah yang diterima oleh pelanggan kerana bank-bank yang mengamalkan perbankan Islam juga memberi atau mengambil keuntungan ke atas penyimpan, peminjam dan pelabur seperti juga bank-bank konvensional. Mereka menyimpulkan bahawa perkara tersebut menunjukkan bahawa perbankan Islam sama sahaja seperti perbankan konvensional, tiada bezanya kerana berurusan dengan perbankan Islam juga kita mendapat pulangan sama seperti dalam perbankan konvensional.

Bagi menjawab persoalan tersebut, dari segi hukumnya memang sudah jelas seperti ayat tersebut di atas iaitu Allah S.W.T. telah dengan jelasnya mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba. Dari segi dalil ‘aqli pula, perbandingan yang kita boleh berikan adalah seperti hukum sembelihan antara orang Islam dengan bukan Islam. Walaupun hasil daripada sembelihan memberi natijah yang sama iaitu kedua-dua jenis sembelihan mengikut cara masing-masing dapat memberikan manfaat kenyang yang sama selepas dimakan hasilnya, namun ia tidak mengharuskan orang-orang Islam untuk memakan sembelihan orang bukan Islam (selain sembelihan ahli kitab) kerana tatacara sembelihan yang berlainan.

Kita boleh bertanya pula, adakah dengan mengambil kira bahawa hasil kedua-dua jenis sembelihan iaitu oleh orang Islam dan bukan Islam sama-sama menatijahkan kenyang selepas dimakan, maka hukum sembelihan orang bukan Islam juga adalah halal untuk orang Islam? Jelasnya, hukum kedua-duanya tetap berbeza iaitu sembelihan orang Islam yang sempurna adalah halal untuk orang Islam dan sembelihan bukan Islam tetap tidak halal melainkan untuk mereka sahaja.

Perlu diingat bahawa Islam tidak hanya melihat kepada natijah sesuatu perbuatan itu semata-mata tetapi juga melihat kepada tatacara atau kaedah ia dihasilkan. Seperti satu kaedah iaitu “menutup jalan-jalan kerosakan” (saddul-zara’i`) dan juga kaedah “niat yang baik tidak akan menghalalkan perbuatan yang haram” (al-niyyah al-hasanah la tubarriru al-haram), bermaksud walaupun tujuan asal sesuatu perbuatan itu baik tetapi jika dihasilkan melalui cara yang haram maka ia adalah dilarang dalam Islam.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa kadar faedah yang ditetapkan oleh perbankan konvensional adalah kecil sahaja dan tidak membebankan atau menindas malah mungkin lebih rendah berbanding bank-bank Islam. Namun harus diingat bahawa Islam tetap melarang perkara-perkara haram, yang sedikitnya mahupun yang banyaknya. Umpamanya meminum arak atau lain-lain minuman yang memabukkan, walaupun dengan meminum setitik sahaja tidak akan memabukkan kita tetapi hukum meminum setitik arak adalah tetap haram dalam Islam sebagaimana hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya pun haram.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Bak kata pepatah, “api bila kecil jadi kawan, bila besar jadi lawan”, Islam amat menekankan kebajikan umat-Nya daripada sebarang mudarat dan penindasan dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Mungkin kita nampak nisbah riba yang ditetapkan oleh perbankan konvensional sekarang adalah kecil, tetapi kita juga kena lihat tujuan kenapa Islam mengharamkan riba dengan sekeras-kerasnya. Kita boleh rujuk contohnya pinjaman yang diberikan oleh “Ah Long”, bayaran bunga yang dikenakan hasil pinjaman adalah berlipat kali ganda dan sangat menindas peminjamnya. Sama ada kecil atau besar kemudaratan yang timbul dengannya, ia boleh membantut dan menjejaskan kebahagiaan hidup masyarakat dan ummah.

Kewajipan atau pilihan

Suatu ketika dahulu, mungkin kita tiada pilihan untuk menggunakan produk kewangan Islam dalam aktiviti-aktiviti kewangan seperti perbankan, pajak gadai, insurans dan sebagainya kerana ketiadaan. Namun dewasa ini, kita telah ada banyak bank-bank Islam dan juga bank-bank konvensional yang membuka Islamic Windows dengan turut menawarkan produk-produk perbankan Islam kepada mereka yang berminat terutamanya umat Islam. Begitu juga produk-produk kewangan Islam yang lain seperti pajak gadai Islam (al-rahnu), takaful, sukuk dan seumpamanya.

Dalam ketiadaan mungkin kita akan memberi alasan tiada alternatif lain melainkan sistem kewangan konvensional, jadi kita terpaksa guna sama ada secara rela atau tidak. Tetapi apabila sudah ada alternatif-alternatif produk kewangan Islam yang ada di hampir semua institusi-institusi perbankan di negara kita, dan dengan melihat kepada kecaman oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya dalam Al-Quran dan Sunnah ke atas pengamal riba, adakah kita masih boleh memilih untuk menggunakan sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba dan mengabaikan sistem kewangan Islam? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”

(Surah al-Ahzab, ayat 36)

Konsep Syariah dalam Perbankan Islam

Mengkaji prinsip Syariah

Semua bank Islam dan bank-bank SPI perlu menubuhkan jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak Syariah. Selain daripada itu ,nasihat Majlis Penasihat Syariah iaitu badan Syariah tertinggi yang ditubuhkan di Bank Negara Malaysia boleh diperoleh bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan. Ahli-ahli jawatankuasa Syariah dan Majlis Penasihat Syariah kebanyakannya terdiri daripada para cendiakawan dan pakar Syariah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Prinsip Syariah

Prinsip Syariah di dalam Perbankan Islam

Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba’ (faedah). Di antara konsep-konsep Islam yang selalu digunapakai di dalam perbankan Islam ialah perkongsian untung (Mudharabah), simpanan (Wadiah), usaha sama (Musyarakah), kos tokok (Murabahah) dan sewaan (Ijarah).

Konsep-Konsep Syariah di dalam Perbankan Islam

a. Wadiah (Simpanan)

Dalam konsep Wadiah, bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana. Seseorang pendeposit akan mendepositkan dana ke dalam bank dan bank akan menjamin pembayaran balik kesemua amaun deposit berkenaan, atau sebahagian daripada amaun belum jelas apabila pendeposit memintanya. Pendeposit mungkin akan diberikan ‘hibah’ (hadiah), atas budi bicara bank, sebagai satu bentuk penghargaan kerana membenarkan penggunaan dana pendeposit oleh bank.

b. Mudharabah (Perkongsian Untung)

Mudharabah ialah pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperoleh akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.

c. Musyarakah (Usaha Sama)

Konsep ini biasanya diguna pakai bagi perniagaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.

d. Murabahah (Kos Tokok)

Penjualan barangan adalah pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua pihak. Harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.

e. Bai’ Bithaman Ajil (Pembayaran Jualan Tertangguh)

Penjualan barangan berasaskan pembayaran tertangguh pada harga tertentu, yang termasuk margin keuntungan yang telah dipersetujui.

f. Wakalah (Agensi)

Peserta melantik seorang wakil untuk melaksanakan dan menjalankan transaksi bagi pihak beliau.

g. Qardhul Hassan (Pinjaman Ihsan)

Pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam hanya dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja. Walau bagaimanapun, peminjam atas budi bicaranya boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa berjanji) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

h. Ijarah Thumma Al Bai’ (Sewa Beli)

Konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Kontrak pertama ialah kontrak Ijarah (pemajakan/menyewa) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu kontrak Bai’ (belian) dimeterai. Sebagai contoh, di bawah kemudahan pembiayaan kereta, pelanggan akan memasuki kontrak pertama dan memajak kereta tersebut daripada pemilik (bank) pada kadar sewa yang telah dipersetujui untuk suatu tempoh tertentu. Pada akhir tempoh pemajakan, kontrak kedua akan dikuatkuasakan bagi membolehkan pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang telah dipersetujui.

i. Bai’ al-Inah (Perjanjian Jual dan Beli Balik)

Pembiaya menjual aset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh dan seterusny aset berkenaan akan dibeli kembali oleh pembiaya secara tunai pada harga diskaun.

j. Hibah (Hadiah)

Saguhati yang diberi secara sukarela sebagai balasan kepada pinjaman yang diberi atau manfaat yang diterima.

Kelebihan Perbankan Islam

  1. Pembahagian dividen berdasarkan keuntungan aktiviti jualbeli.
  2. Penyerahan dan penyaluran dana sesuai dengan syariah Islam yang diawasi oleh badan Pengawal Syariah.
  3. Menjalankan aktiviti jualbeli yang halal saja.
  4. Penentuan kadar purata bagi hasil jualbeli dibuat pada waktu akad dengan berdasarkan pada kemungkinan untung rugi.
  5. Kadar purata bagi hasil jualbeli (sistem muamalah) berdasarkan kepada jumlah keuntungan yang diperolehi.
  6. Perbankan islam tidak ada yang meragukan dari segi sumber keuntungan bagi hasil jualbeli atau perlaburan yang dilakukan
  7. Merangkumi 20% daripada juzuk pasaran perbankan dan insurans dan memberi sumbangan yang berkesan kepada sektor kewangan ekonomi negara.
  8. Diwakili oleh sebilangan IPI dan PT(pengendali takaful) yang kukuh dengan modal yang besar serta menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang lengkap dan komprehensif.

Perbezaan Perbankan Islam dengan Perbankan Konvensional

Perbezaan antara perbankan Islam dengan perbankan konvensional secara umum terbahagi kepada dua konsep iaitu konsep imbalan dan konsep sistemnya. Perbezaan konsep antara sistem perbankan Islam dengan perbankan konvensional dapat dilihat dalam jadual perbandingan di bawah.

PERBANKAN BANK ISLAM

PERBANKAN BANK KONVENSIONAL

  • Berdasarkan keuntungan
  • Berdasarkan bunga dan hasil
  • Berorientasikan Keuntungan danAl-Falah
  • Berorientasikan keuntungan
  • Hubungan dengan pelanggan dalam bentuk hubungan perkongsian
  • Hubungan dengan pelanggan dalam bentuk hubungan pemiutang – penghutang
  • Users of real funds
  • Creator of money supply
  • Menjalankan aktiviti jual beli yang halal saja
  • Menjalankan aktiviti jual beli yang halal dan haram
  • Penyerahan dan penyaluran dana harus sesuai dengan syariah Islam yang diawasi oleh badan Pengawal Syariah.
  • Tidak terdapat badan Pengawal Syariah

Cabaran Dan Peluang Perbankan Islam Di Malaysia

Krisis kewangan kapitalis global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan beberapa negara dalam sekelip mata, sedang usaha pemulihannya masih buntu serta belum ada tanda ekonomi beransur pulih. Dalam masa sama episod hitam itu secara relatifnya membuka mata masyarakat dunia kepada potensi sebenar, survival serta kejayaan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam di seluruh dunia dalam menangani krisis ekonomi. Inilah masa dan medan terbaik bagi negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka serta mengenengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global. Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan cirinya tersendiri melawan arus deras institusi riba kapitalis.

Sistem kewangan Islam bersifat kurang risiko dan lebih kepada amalan perkongsian keuntungan di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan global seperti sekarang. Hakikatnya institusi kapitalis riba global sedang menuju kemelesetan dan pendokongnya bakal berdepan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya. Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan memerangi segala bentuk sistem atau struktur berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya,” (Al-Baqarah: 278- 279). Oleh itu, krisis dihadapi AS dan Eropah kini membuktikan sistem konvensional semasa berteras riba mempunyai banyak kelemahan dan ketidakseimbangan berbanding sistem kewangan Islam yang bebas riba. Ia dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan ketika dunia bergelut zaman meleset dan pergerakan ekonomi perlahan serta tidak berdaya saing, dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia, termasuk negara maju. Ramai sarjana mengakui kesan positif krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitul mal, sedekah, hibah dan sebagainya di samping inovasi dalam produk ekonomi Islam. Malah, ini menjadi petunjuk kepada institusi kewangan dan perbankan konvensional supaya mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya yang terbukti berjaya. Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam.

Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan, termasuk beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong. Antara produk utama dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion. Ini kejayaan yang sangat baik dan perlu dipertahankan pada masa hadapan serta berusaha menambahkan lagi nilainya. Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia mula membuka mata kepada kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam. Diharapkan dengan perkembangan memberangsangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di Barat. Dalam menangani krisis kewangan pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepemimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah drastik, termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita. Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang 2010 nanti. Menurut Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Profesor Bala Shanmugam, jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini. Iklim ekonomi dan penyertaan yang semakin bertambah dalam industri itu membuka peluang kepada Malaysia dan negara Islam lain menjadi peneraju utamanya. Industri global pula kini bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam. Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global. Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang berkembang pesat. Kerajaan konsisten mempelbagaikan konsep terbitan nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan bai inah dan ijarah kepada murabahah yang mendapat sambutan. Dengan menerbitkan nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Timur Tengah terutamanya, ia boleh menyediakan platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia. Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam global, instrumen itu akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa dari semasa ke semasa. Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan bank pusat dan dipacu industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak.


a) Globalisasi Perkhidmatan

Kewangan Islam

Dengan aspek dimensi antarabangsa kewangan Islam menjadi semakin nyata, landskap kewangan telah melalui perubahan yang besar dengan pesertanya lebih pelbagai dan persekitarannya yang lebih kompetitif. Ini seterusnya menjadi pemangkin bagi peningkatan inovasi kewangan dan penghasilan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang lebih luas. Perkembangan ini telah menarik minat peserta global konvensional dari negara-negara bukan Islam, terutamanya dari segi penyertaan yang meningkat dalam pasaran kewangan Islam dan perolehan kepentingan strategik dalam institusi kewangan Islam domestik. Dengan terbukanya peluang kepada institusi perbankan dan peserta lain, sistem kewangan Islam menjadi lebih pelbagai dan pasaran kewangan Islam semakin luas berkembang. Perkembangan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan pesat kewangan Islam di seluruh dunia, dan kewangan Islam kini muncul sebagai antara segmen paling pantas pertumbuhannya dalam industri perkhidmatan kewangan. Susulan perkembangan tersebut, skop perniagaan kewangan Islam telah berkembang daripada hanya tertumpu pada pembiayaan runcit dan perdagangan, kepada penawaran produk kewangan yang lebih canggih untuk memenuhi permintaan pelanggan global yang berubah-ubah. Produk berasaskan Syariah ini termasuklah ekuiti swasta, pembiayaan projek, originasi dan terbitan sukuk, serta produk pengurusan dana, aset dan harta. Pasaran sukuk khususnya, telah menjadi saluran penting bagi aktiviti mendapatkan dana dan pelaburan antarabangsa, dan telah berkembang pada kadar 40% setahun. Potensi besar pasaran sukuk dalam sistem kewangan antarabangsa sememangnya merupakan kemuncak baharu inovasi dalam kewangan Islam malah merupakan bahagian penting proses globalisasi kewangan Islam. Sukuk Musyarakah dan Ijarah yang diterima secara meluas di peringkat global kini membentuk sebahagian besar terbitan sukuk global. 75 Buletin Suku Tahunan Suku Kedua 2008 Pembangunan struktur sokongan bagi kewangan antarabangsa merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membangunkan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) pada tahun 2002 untuk menetapkan piawai kehematan kewangan Islam, dan juga pewujudan Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan Islam (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions, AAOIFI) pada tahun 1990. Kedua-dua badan penetap piawai antarabangsa ini memainkan peranan penting dalam menyelaraskan piawai kehematan dan perakaunan merentas negara-negara yang berbeza. Apa yang lebih penting ialah peranan badan tersebut menghasilkan amalan terbaik antarabangsa dalam pembangunan kewangan Islam global. Lantaran usaha bersepadu untuk menghasilkan amalan terbaik antarabangsa yang kukuh dalam rangka kerja kehematan dan penyeliaan, daya tahan dan kemampanan jangka panjang industri kewangan Islam dapat dikekalkan. Globalisasi turut membawa bersama-samanya elemen saling bergantung yang lebih ketara. Meskipun kesalinghubungan yang lebih nyata ini dijangka menghasilkan pengagihan modal yang lebih cekap merentas sempadan, yang seterusnya mengurangkan kos modal, langkah ini juga boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya pemindahan risiko merentas negara. Ini menekankan lagi keperluan untuk memastikan mutu globalisasi kewangan. Meskipun sifat intrinsik kewangan Islam sememangnya menggalakkan pengurusan risiko dan memberi keyakinan melalui penzahiran dan ketelusan, risiko baharu yang berpunca daripada globalisasi harus diambil kira. Ini bagi memastikan institusi kewangan Islam berupaya menguruskan risiko dan pihak berkuasa pengawalseliaan mempunyai peralatan yang perlu untuk menangani sebarang implikasi penyahstabilan.


b.) Munculnya Cabaran Baharu

Dimensi antarabangsa kewangan Islam yang kian nyata membawa bersama-samanya cabaran baharu. Kemunculan institusi kewangan Islam yang lebih pelbagai dan pembangunan pasaran kewangan Islam yang kian meluas telah mempercepat lagi perkembangan pengantara perbankan Islam, takaful dan pasaran modal yang canggih. Ini juga telah membawa kepada terciptanya instrumen kewangan berstruktur yang canggih dan kompleks termasuk struktur hutang-ekuiti hibrid. Persaingan yang kian sengit bukan sekadar mempercepat langkah inovasi produk dan perkhidmatan tetapi juga proses operasi dan saluran penyampaian. Perkembangan ini menyumbang kepada profil risiko urus niaga kewangan Islam yang semakin kompleks.


c) Inisiatif Strategik Global

Langkah-langkah kerjasama antarabangsa telah dilaksanakan berikutan kesedaran tentang betapa pentingnya daya tahan kewangan industri bagi perkhidmatan kewangan Islam diperteguh dalam persekitaran yang kian mencabar ini. Justeru, bagi menerajui pembangunan strategik industri ini, pelan Induk 10 tahun bagi pembangunan industri kewangan Islam global telah dilaksanakan. Pelan ini merupakan inisiatif bersama Islamic Development Bank (IDB) dan IFSB untuk menyediakan rangka tindakan pembangunan sistem kewangan Islam yang teratur merentas negara bagi mencapai matlamat yang sama, iaitu industri perkhidmatan kewangan Islam yang teguh, berkesan dan progresif. Rangka tindakan ini turut menggariskan strategi umum pembangunan komponen utama pelbagai bahagian sektor kewangan Islam. Antaranya, panduan untuk menentukan pilihan terbaik bagi tahap pembangunan berbeza sistem kewangan Islam agar ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan bangunan ekonomi, serta menjadi komponen penting sistem kewangan antarabangsa. Perlu ditekankan bahawa pelan induk ini bukan sekadar menyediakan rangka tindakan pembangunan sistem kewangan Islam yang jitu dan padu lagi komprehensif, tetapi ia juga menggalakkan pemahaman dan kesedaran yang lebih mendalam termasuk menyediakan Buletin Suku Tahunan Suku Keduaa 2008 76 maklumat tentang jangkaan tahap pencapaian yang diperlukan buat mereka yang ingin menyertai sistem kewangan Islam. Satu lagi inisiatif global yang penting dalam kewangan Islam ialah pengisytiharan piawai kehematan dan penyeliaan antarabangsa oleh IFSB. IFSB telah mempercepat penghasilan piawai ini bagi menangani risiko ciri-ciri kontrak kewangan Islam yang unik dan khusus. Dalam pelaksanaan piawai ini apa yang penting ialah pengukuhan keupayaan institusi kewangan mengurus risiko. Di samping itu, pelaksanaan piawai ini perlu diperlengkap oleh pengawasan yang berterusan agar dapat mengenal pasti dari awal lagi risiko yang baru muncul dan juga untuk memastikan institusi tersebut bersedia untuk menguruskan risiko.


d) Daya Tahan Diperkukuh oleh Ciri-Ciri Intrinsik Kewangan Islam

Ciri-ciri intrinsik kewangan Islam turut menyumbang kepada daya tahan keseluruhannya. Ini terbentuk daripada prinsip Syariah yang merupakan tunggak utama kewangan Islam. Injunksi Syariah menghendaki urus niaga kewangan diasaskan oleh aktiviti produktif yang menghasilkan kaitan rapat antara aliran kewangan dengan aliran produktif. Di bawah konsep perkongsian risiko, pembiaya kewangan dan peminjam saling berkongsi risiko. Dalam pengaturan sebegini, aktiviti benar dijangka menjana pulangan yang cukup untuk menampung risiko. Ekoran itu, pihak-pihak yang berurus niaga dilindungi daripada pendedahan kepada risiko yang melampau memandangkan prinsip Syariah melarang leveraj berlebihan dan penglibatan dalam aktiviti kewangan spekulatif. Oleh itu, prinsip intrinsik perkongsian keuntungan dan risiko menyediakan kaedah sekatan dan imbangan (check and balance) dalaman terhadap urus niaga kewangan Islam. Gabungan kesemua ciri tersendiri ini dan pelaksanaan piawai dan amalan pengurusan risiko berhemat dapat menyumbang kepada keteguhan dan daya tahan sistem kewangan Islam.

Perkembangan Perbankan Islam Di Malaysia

Sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia telah menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang memberangsangkan. Sebelum 1993, Malaysia hanya mempunyai sebuah bank Islam dengan 36 cawangan yang terhad. Bagaimanapun, selepas kerajaan memperkenalkan Skim Perbankan Tanpa Faedah pada 1993, perbankan Islam kini boleh diperolehi di hampir 2,500 cawangan bank Islam, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan.

Menurut Laporan Ekonomi 2001/2002, pada akhir Julai 2001, sistem perbankan Islam terdiri daripada BIMB, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan 35 institusi kewangan yang lain (14 bank perdagangan, 9 syarikat kewangan, 5 bank saudagar dan 7 syarikat diskaun) yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam menerusi Skim Perbankan Islam (SPI). Dalam tempoh lima setengah tahun sahaja, aset perbankan Islam telah meningkat daripada RM2.4 bilion pada 1993 kepada RM34 bilion pada akhir Jun 1999. Manakala, jumlah deposit meningkat daripada RM2.3 bilion pada tahun 1993 kepada RM26 bilion pada akhir Jun 1999.

Kini, sistem kewangan dan perbankan Islam semakin berkembang. Malaysia sudah memiliki syarikat takaful kedua (Bank Muamalat Malaysia), skim pajak gadai Islam, koperasi-koperasi Islam di seluruh negara. Kejayaan ini telah menarik minat banyak negara Islam dan negara bukan Islam yang mempunyai masyarakat Islam minoriti. Mereka menghantar pegawai-pegawai untuk mempelajari sistem perbankan Islam yang diamalkan Malaysia. Malah BIMB merancang akan menubuhkan kolej perbankan dan kewangan Islam sebagai platform melahirkan lebih ramai sumber manusia yang mahir dan pakar. Inisiatif ini juga bakal memajukan lagi sistem kewangan dan perbankan Islam melalui proses penyelidikan dan pembangunan dalam memperkenalkan lebih banyak produk demi untuk meningkatkan daya saing dan menjadi alternatif terbaik kepada sistem konvensional. Bank Negara Malaysia pula merangka rancangan jangka panjang selama 10 tahun untuk perbankan Islam. Majlis Perundingan Ekonomi Negara II (MAPEN II) juga menubuhkan Jawatankuasa Kewangan dan Perbankan Islam bagi mengemukakan syor-syor rancangan 10 tahun sistem kewangan dan perbankan Islam.

Sebagai negara yang mempunyai sistem kewangan Islam yang berkesan, Malaysia telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran kepada negara-negara yang berminat memajukan sektor berkenaan. BIMB telah memberikan bantuan teknikal dan kepakaran kepada penubuhan bank Islam di Brunei, Indonesia, Sri Lanka dan Albania. Bank Negara Malaysia pula pernah memberi program latihan kepada pegawai-pegawai Bank Pusat dari Indonesia dan Filipina. Malah, salah satu projek Malaysia dalam Kumpulan D-8 ialah menawarkan latihan dan kepakaran dalam bidang takaful dan perbankan Islam kepada negara-negara anggota yang berminat. Perbankan Islam yang menawarkan alternatif penting kepada perbankan konvensional terus berkembang pada 2001 dengan pasaran aset meningkat kepada 7.3 peratus pada akhir Julai 2001 berbanding 6.9 peratus yang dicatat tahun lepas (Laporan Ekonomi 2001/2002). Aset sistem perbankan Islam terus berkembang dan meningkat 3.2 peratus atau RM48.58 juta pada tujuh bulan pertama 2001 berbanding RM47.06 juta tahun sebelumnya. Ini adalah berikutan kenaikan 10 peratus deposit atau RM39.52 juta daripada RM35.92 juta pada 2000.

Masa Depan

Prospek Masa Depan Perbankan Islam di Malaysia

Berdasarkan peranan penting kerajaan dan respon rakyat, Malaysia akan terus menjadi penyumbang utama kepada perkembangan perbankan dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Ini adalah kerana Malaysia mempunyai struktur sistem perbankan dan kewangan Islam yang tersusun. Malaysia juga telah merumuskan strategi jangka pendek dan jangka panjang yang sesuai dalam menghasilkan struktur kewangan Islam yang telah ditetapkan agar ianya lebih kukuh dan komprehensif.

Sehingga tahun 2010, dianggarkan jumlah dana sistem kewangan Islam sedunia berjumlah US$120 bilion. Daripada jumlah ini, Malaysia menyumbangkan kira-kira 9.9 peratus, satu jumlah yang agak besar daripada negara yang hanya mempunyai 24 juta penduduk dan penduduk beragama Islam hanya merupakan separuh daripadanya. Untuk tempoh lima tahun sehingga 2005, jumlah aset sistem perbankan Islam di Malaysia meningkat kepada 49.1 peratus setahun, manakala jumlah deposit dan pembiayaan masing-masing meningkat pada kadar purata 41.0 peratus dan 57.2 peratus setahun. Berasaskan kemajuan yang menggalakkan ini, jumlah aset sistem perbankan Islam diunjur akan meningkat daripada RM35.8 juta pada 2006 kepada RM109.1 bilion pada 2007, RM255.6 bilion pada 2008 dan RM388.6 bilion pada tahun 2010.

Pembiayaan perbankan Islam lebih tertumpu kepada sektor penggunaan individu dan tidak tersebar luas ke sektor perdagangan dan perusahaan. Perkhidmatan perbankan Islam yang disediakan oleh institusi perbankan konvensional juga tidak begitu menonjol, ia seolah-olah ditawarkan sebagai antara produk pilihan dan bukan perkhidmatan alternatif. Di sektor insurans, sungguhpun saiz industri takaful berbanding industri insurans masih kecil, masa depannya adalah cerah.

Perkembangan pesat juga dapat dilihat dalam industri pengurusan dana berlandaskan syariah. Sehingga kini, 13 dana amanah saham bagi menawarkan lebih dua billion unit saham telah dilancarkan. Tiga firma pengurus dana (tidak termasuk Lembaga Urusan Tabung Haji) bergiat cergas menguruskan dana Islam ini. Bidang kewangan berlandaskan prinsip syariah diperlengkap dengan penyediaan skim ar-rahnu iaitu skim pajak gadai secara Islam.

Kesedaran dan Penerimaan Masyarakat

Dengan tidak menghapuskan sistem konvensional serta-merta, umat Islam dan rakyat keseluruhannya di negara ini akan mampu membuat perbandingan sistem manakah yang lebih baik, lebih mesra pengguna dan menggalakkan keadilan sosio-ekonomi. Kini sudah ramai masyarakat bukan Islam yang memilih sistem perbankan Islam. Kita seharusnya optimis bahawa sistem kewangan dan perbankan konvensional kini yang berunsurkan riba akhirnya akan terhapus juga namun biarlah dengan cara yang bijak. Sekiranya umat Islam sendiri berusaha untuk memaju dan memantapkan sistem perbankan Islam sebagai suatu alternatif yang terbaik, pastinya masyarakat yang bukan beragama Islam juga akan memilih sistem berkenaan dan akhirnya sistem konvensional akan terhapus dengan sendiri. Hakikat ini bukan sahaja akan menonjolkan imej baik Islam sebagai agama yang mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia malah seterusnya mampu menyerlahkan keindahan Islam sebagai suatu cara hidup yang terbaik. Pendekatan seumpama ini didapati lebih baik dan berkesan untuk menarik minat masyarakat sejagat terhadap Islam dan pastinya dapat membantu dalam menangani propaganda pihak tertentu iaitu musuh-musuh Islam. Demikian juga tindakan songsang penganut-penganut Islam tertentu yang telah memberikan gambaran palsu, silap dan penuh kekaburan tentang Islam sehinggakan Islam disifatkan sebagai agama yang mundur, menentang kemajuan dan membawa manusia ke arah kemiskinan, keganasan dan pelbagai imej negatif lain.

To be informed of the latest articles, subscribe:
Top